Majlis Sambutan Hari Guru 2025
Sekolah Menengah Agama Tok Bachok, 16 Mei 2025 – Majlis Sambutan Hari Guru 2025 telah berlangsung dengan penuh meriah dan bermakna di Surau Umar Al Khatab, Sekolah Menengah Agama Tok Bachok. Majlis yang diadakan saban tahun ini merupakan satu penghargaan istimewa buat para pendidik yang telah banyak berkorban dan mencurahkan bakti demi kejayaan anak-anak bangsa.
Tema Hari Guru pada tahun ini ialah "Guru Pemacu Reformasi Pendidikan", selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia dalam memperkasakan pendidikan abad ke-21 yang berteraskan nilai madani, penggunaan teknologi, dan pembentukan insan holistik.
Majlis dimulakan seawal jam 8.00 pagi dengan perarakan masuk para guru diiringi paluan kompang oleh pelajar-pelajar tahfiz. Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Pengarah Majlis, diikuti dengan ucapan perasmian oleh Pengetua sekolah, Encik Muhd Fadhli bin Jusoh, yang menekankan pentingnya peranan guru sebagai agen perubahan dalam era digitalisasi pendidikan.
Pelbagai acara menarik telah dianjurkan bagi memeriahkan sambutan, antaranya persembahan oleh pelajar tingkatan lima, tayangan montaj khas dedikasi untuk guru-guru. Selain itu, anugerah khas turut diberikan kepada guru-guru yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang pengajaran, kepimpinan dan inovasi pendidikan.